Sunday, February 20, 2011

NOTA: BERUS (BAHAGIAN 1)

BERUS (BHG PERTAMA)
Oleh: Pak Abu
(Dipermudahkan dari artikel yang ditulis oleh Carmi Weingrod)

Dalam lukisan skrol tradisional Cina dan Jepun berus memainkan peranan yang sangat penting. Sebaliknya dalam seni lukis barat kemahiran pelukis adalah lebih penting dari berus. Namun tidak dinafikan berus yang baik akan menyumbang ke arah sebuah karya yang lebih baik. Berus ialah alat yang sangat penting dalam kerja melukis. Oleh itu cubalah sedaya upaya membeli berus yang baik dan berkualiti. Pastikan ia dibeli mengikut keupayaan. Jangan paksa diri jika tidak mampu membeli berus yang mahal kerana semata-mata mahu memiliki berus yang baik.

Terdapat dua perkara yang penting dalam pemilikan berus. Pertama, dapatkan berus yang betul dan sesuai dengan kerja anda. Dan kedua, jika berus yang anda miliki itu dapat memuaskan anda setiap kali anda melukis maka anda harus menjaganya dengan baik supaya ia tidak rusak. Melainkan anda seorang kaya dan mampu membeli berus baru setiap kali membuat lukisan baru.

Langkah yang menyukarkan dalam pemilihan berus ialah mengenal pasti keupayaan berus itu mengikut tugasnya. Anda perlu kenal pasti lukisan anda memerlukan berus yang macam mana. Adakah ia mampu memegang warna dengan banyak? Adakah anda memerlukan berus yang lembut atau keras? Tajam atau dompol? Bersegi atau bulat? Kecil atau besar? Persoalan yang penting yang harus juga diambil kira ialah adakah kerja anda bersifat detail atau abstrak? Adakah anda melukis secara cepat atau perlahan? Adakah subjek anda dalam lukisan anda dilukis dari jauh atau dekat? Adakah sapuan anda kasar atau lembut? Tidak kurang pentingnya berapa besar sais lukisan anda?

Setelah anda sudah jelas keperluan berus anda terhadap persoalan-persoalan tadi barulah anda boleh memberi ruang untuk meninjau berus-berus yang ada di pasaran. Apabila membuat tinjauan, pembuatan berus harus diambil kira kerana sifat-sifat pembuatan berus menentukan kualiti berus. Lihat ferulle berus, adakah ia diperbuat dari nikel, tin atau plastic. Berus yang elok bulunya ditanam dalam ferrule dengan mengguna apoxy. Berus yang murah dan tidak berkualiti ia ditanam dengan mengguna gam biasa yang membolehkan bulu tercabut atau tanggal bila terkena air.

Semasa membeli berus seelok-eloknya anda mencubanya dulu. Di Malaysia mungkin tidak ada kedai membenarkan anda berbuat demikian. Tetapi di barat ia perkara biasa. Sebagai cadangan belilah berus sable jika mampu. Berus sable terdapat dalam berbagai kualiti. Jika ia dipamerkan dalam almari kaca dan berkunci kualitinya tidak boleh dipertikaikan lagi. Bagaimana menguji kualiti berus?

Berus yang berkualiti tinggi biasanya diedarkan dengan bulunya disalut gam arabik. Dengan bulu bersalut gam arabik pengilang atau pengeluar dapat memastikan bulunya tidak terurai atau terbuka (kembang) sebelum sampai kepada pengguna. Berbeza dengan berus nyilon yang ditudung dengan tiub plastik. Ujian dilakukan dengan membuat sapuan. Pastikan bulunya dibasuh sehingga gam arabik tanggal atau bersih. Celup berus dalam air dan goncang berus. Setelah dikeluarkan dari air perhatikan hujungnya. Bagi berus bulat atau mop hujungnya tajam. Jika tidak tajam ia kurang baik. Jika berus leper perhatikan segian bulunya. Lepas itu perah bulunya dan lihat berapa banyak air yang jatuh. Berus yang baik bulunya mampu memegang air dengan banyak. Lagi banyak air dipegang oleh bulunya lagi baik berus bekenaan.


Masalah Berus Terbaik
Tidak dapat dinafikan berus terbaik ialah berus dari bulu binatang berbanding dengan berus sintatik. Sementara antara berus bulu binatang berus yang terbaik ialah berus yang diperbuat dari bulu weasel, sejenis binatang yang cuma terdapat di utara benua Asia. Binatang weasel terbahagi kepada dua keluarga iaitu marten dan sable. Dalam keluarga binatang marten yang paling baik untuk membuat berus ialah sejenis marten yang cuma terdapat di utara Siberia yang dipanggil kolinsky. Jika anda membeli atau terbeli sebatang berus yang bertanda ‘kolinsky’ pada batangnya bermakna anda sudah memiliki berus yang paling baik di dunia. Sementara yang bertanda ‘Sable’ pada batangnya ialah berus yang kedua terbaik. Jangan sekali-kali terkeliru jika terbeli berus yang bertanda ‘Red Sable’ kerana berus red sable tidak dibuat dari bulu binatang sable. Berus red sable diperbuat dari bulu yang diambil dari telinga ox (sejenis lembu). Atas tujuan komersial pengeluar-pengeluar berus sepakat mengguna perkataan sable untuk berus ini.

Penglibatan anda sebagai pelukis dan pengeluar berus dalam penggunaan dan penghasilan berus kolinsky dan sable mencetus rasa dilema sebenarnya. Pencita alam dari masa kesemasa membantah pemburuan binatang-binatang ini. Namun anda sebagai pengguna tidak terlibat secara langsung dalam masalah ini. Begitu juga pengeluar berus. Ini ialah kerana berus kolinsky dan sable hanya diperbuat dari bulu yang diambil dari ekornya. Pengeluar berus tidak terlibat dalam pemburuan sable dan kolinsky. Pengeluar berus mendapat bekalan ekor sable dan kolinsky dari pengeluar pakaian bulu binatang di mana ekor-ekor binatang ini dikira sebagai waste product dari kilang-kilang pakaian berkenaan. Ia memerlukan antara 500 ke 600 ekor untuk mendapatkan satu paun bulu kolinsky atau sable. Ia sememangnya menyedihkan.

Bersambung:
BERUS (BAHAGIAN 2) - Lain-lain jenis berus dan sifatnya.

SUMBER: PAK ABU @ EN. ABU SEMAN

No comments:

Post a Comment